Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Jumaat, 15 Jun 2012

Tempat Menarik di Beijing #4: Stadium Olimpik Sarang Burung

Stadium Olimpik Sarang Burung  (Bird's Nest Stadium) atau Stadium Nasional Beijing ini sangat popular sejak Beijing mengadakan sukan Olimpik pada tahun 2008. Ketika Beijing menyuarakan hasrat untuk mengadakan sukan ini, ramai pihak tidak percaya akan kemampuan China mengadakan sukan bertaraf dunia ini.

Apabila China memenangi undian untuk menghoskan Sukan Olimpik ini banyak pihak dari seluruh dunia mengkritik dan memulau China. Antara isu-isu yang diketengahkan ialah hak-hak asasi manusia (seperti kebebasan bersuara) yang dicabuli negara itu, hak kebebasan Tibet yang gagal ditangani, tahap pencemaran udara yang tinggi di Beijing. dan tahap amalan kebersihan yang rendah.

Namun Beijing telah mengadakan Sukan Olimpik ini dengan jayanya dan telah membuka mata dunia bahawa mereka bukan "kecil-kecil cili padi."

Oleh kerana berita tentang stadium ini sering disiarkan di dalam media maka, kembara saya seterusnya di Beijing ialah untuk melihat dengan lebih dekat Stadium Olimpik ini. Saya hanya menaiki subway dari apartment sewa saya, dan jaraknya tidaklah terlalu jauh. Saya cuma membelanjakan 4 yuan (RM2) sahaja untuk tambang pergi dan balik. Saya pergi seorang diri.


Cara pergi: 
Saya naik subway dari Communication University of China sebab di sinilah stesen yang terdekat dengan apartment sewa saya. Saya ambil Laluan Batong. Lepas itu turun di Sihui dan ambil Laluan 1. Lepas itu turun di Guomao. Ambil Subway Laluan 10 ke Beitucheng kemudian tukar ke Subway Laluan 8 (Olympic Special Line): turun di stesen Olympic Sports Center, keluar dari stesen ikut pintu  B1 (northwest exit)  atau pintu B2 (northeast exit), dan jalan ke utara ke Sarang Burung. Sarang Burung itu nampak jelas di hadapan sebaik-baik sahaja aku keluar dari stesen subway.
.
Ini adalah gambar-gambar yang saya ambil.










Saya pergi tidaklah lama, lebih kurang 40-50 minit sahaja. Lepas ambil gambar dan beli sebuah fridge magnet Sarang Burung sayapun pulang. 

Semasa membeli fridge magnet, tiada seorangpun penjual cenderamata di sini yang tahu apa itu "fridge magnet". Yang kelakarnya, jenuhlah saya membuat demonstrasi yang dikatakan  fridge magnet itu, tapi mereka tidak faham. Setelah bertungkus-lumus menjelaskan dengan demonstrasi dan bahasa isyarat, barulah mereka faham. Yang ada fridge magnet pun tak jual gambar Stadium Sarang Burung. Banyak gambar topeng Opera China. Sedangkan saya hendak gambar Stadium Sarang Burung.

Akhirnya barulah saya jumpa fridge magnet yang ada gambar Stadium Sarang Burung. Setelah saya tawar, dapatlah 10 yuan (RM5).

Rupa-rupanya nak sebut fridge magnet kena sebut "mik niiit". Pada masa itu saya terlupa yang telefon bimbit saya ada kamus bahasa China..he..he..he


Gerai ini sahaja yang ada jual fridge magnet Stadium Sarang Burung.

Stadium Nasional Beijing (Sarang Burung) ini memerlukan wang penyelenggaran kira-kira 9 juta dolar Amerika setahun

Kawasan persekitaran Stadium Olimpik Beijing

Pusat sukan berekabentuk kiub ini terdapat di hadapan Stadium Sarang Burung

Pertama kali melihat ais krim goreng.

Kali kedua saya pergi pada waktu malam. Saya pergi dengan ramai kawan. Saya diajak oleh Kamilah siswi Bahasa Cina di Beijing Language and Culture University atau dikenali dengan Universiti Beiyu. Bersama-sama kami turut serta beberapa siswa Beiyu, siswa Universiti Malaya yang datang ke Beijing untuk membuat penyelidikan dan seorang lagi ialah anak saudara saya yang baru sampai dari Ipoh. Jadi lebih kurang 10 orang yang pergi. 

Oleh kerana beramai-ramai makan angin, kami rasa sangat seronok. Sambil jalan-jalan di situ, kami main layang-layang kerana anginnya yang bertiup kuat. Kami juga berbincang tentang stadium ini yang gagal menarik ramai penonton ke acara sukan selepas Sukan Olimpik  2008. Kos pembinaan stadium ini ialah 423 juta dolar Amerika. Satu pembaziran, bukan?

Berikut adalah gambar stadium itu pada waktu malam.




Lampu dari dalam stadium

Pusat sukan berekabentuk kuib ini sangat indah pada waktu malam


Makan angin di Stadium Sarang Burung pada waktu malam. Mereka semua siswa-siswi universiti di Beijing dan Malaysia.



Kami pulang setelah stadium lampu tutup (lebih kurang pukul 10 malam) dan subway pun akan tamat perkhidmatan. Oleh kerana takut ketinggalan subway, saya dan anak saudara saya menumpang tidur di asrama siswi Beiyu.

Ikutilah laporan terus Kembar saya dari Beijing dalam entri yang akan datang. Salam Kembara dari Beijing.


2 ulasan:

  1. Cantik warna malam sarang burung "merpati" tu ya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. AndaQue,
      Maaf lambat membalas. Ini disebabkan blogspot tidak dapat diakses di sini. Ttp sekarang dah boleh berfungsi balik.

      Ya, stadium itu rupa-rupanya cantik pada waktu malam kerana lampu-lampu yang dinyalakan dari dalam bangunan, tambahan pula angin bertiup kuat utk bermain layang-layang. Itu yg dikatakan makan angin he he he :)

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...