Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Jumaat, 26 Julai 2013

Mekah Setelah Tiga Tahun

M ekah ialah destinasi yang paling saya suka. Inilah tempat yang 'sekali pergi, hendak pergi lagi.' Di sinilah Kaabah dibina. Tempat tumpuan umat Islam sedunia. Terasa amat kuat panggilan Kaabah itu mengamit-gamit saya.

Saya telah mengunjungi Tanah Suci ini sebanyak tiga kali. Kali pertama pada Jun 2010 untuk mengerjakan umrah. Kali kedua pada November-Disember 2010 untuk mengerjakan haji. Kali ketiga pada Jun 2013 untuk mengerjakan umrah sekali lagi.










Kelebihan Ibadah Haji dan Umrah


Ibadah Haji dan umrah adalah wajib sekali seumur hidup bagi setiap orang Islam yang mampu sebagaimana firman Allah SWT:

"Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah..." ( Al-Baqarah: 196)

Dari Umar RA Rasulullah SAW bersabda:

"Tidak ada seorangpun kecuali diwajibkan atasnya satu kali haji dan umrah." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Walaupun haji dan umrah adalah wajib sekali dalam seumur hidup bagi orang Islam yang mampu, namun kita boleh berulang kali melakukannya. Umar RA meriwayatkan bahawa Rasululllah SAW telah bersabda yang bermaksud:

"Perturutkanlah di antara haji dan umrah, sebab sesungguhnya berturut-turutnya antara kedua-duanya akan menghilangkan kefakiran dan dosa-dosa, ibarat kir (nyalaan api tukang besi) yang menghilangkan kotoran besi." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

"Satu ibadah umrah sehingga sampai umrah lainnya adalah sebagai pelebur dosa di antara kedua-duanya. Sedangkan haji yang mabrur tidak mempunyai balasan kecuali syurga." (Hadis riwayat Al-Bukhari)


Mekah Dulu (2010) dan Sekarang (2013)


Setiap perjalanan itu mempunyai rencah-rencahnya yang tersendiri. Walaupun ke destinasi yang sama iaitu Mekah Al-Mukaramah, namun setiap kunjungan adalah berbeza. Di sini saya ingin kongsikan perbezaannya.

 

1. Cara Pergi yang Berbeza


"Guna pakej apa?" Inilah soalan yang sering diajukan kepada saya apabila kenalan saya mendapat tahu saya ke Mekah. Ini disebabkan lazimnya orang ke Mekah menggunakan pakej umrah atau pakej haji yang disediakan oleh ejen.

"Saya tidak menggunakan mana-mana pakej. Saya backpack ke Mekah!" beritahu saya pada mereka.

Rasa macam tak percaya, bukan? Sebenarnya itulah perjalanan unik yang pernah saya lalui. Saya ke Mekah melalui Thailand bersama kawan saya Liza. Kami memandu kereta dari Pulau Pinang ke Hadyai. Kemudian ke Bangkok. Menginap semalam di Bangkok, kemudian menaiki Qatar Airline ke Qatar dan kemudiannya ke Jeddah. Dari Jeddah kami memandu kereta ke Madinah. Setelah itu kami memandu pula ke Mekah. InsyaAllah saya akan buat satu entri khas tentang saya backpack ke Mekah dan Madinah ini.

Kunjungan kali kedua adalah untuk mengerjakan haji. Kali ini saya menggunakan pakej swasta. Saya terbang menggunkan MAS dari Pulau Pinang dan terus ke Jeddah. Di dalam kapalterbang saya amat tertarik melihat pramugarinya memakai hijab. Sangat cantik pemakaian pramugari MAS begini. Alangkah bagusnya kalau mereka terus memakai hijab untuk destinasi lain di dunia ini. Mengapakah MAS tidak menetapkan peraturan pemakaian berhijab kepada pramugari Islam? Saya tidak faham mengapa ia hanya diwajibkan kepada pramugari yang bertugas di dalam kapalterbang yang membawa jemaah haji sahaja tetapi tidak yang lain.

Kunjungan kali ketiga adalah untuk mengerjakan umrah. Kali ini saya pergi bersama kawan saya Salwa dan keluarga. Kami menaiki kapalterbang Saudi Airline dari KLIA dan terus ke Jeddah.


Pintu #1 Masjidil Haram selepas solat isyak


Pintu #1 Masjidil Haram selepas solat subuh





Nota: Oleh kerana kawalan dan pemeriksaan ketat kepada jemaah wanita, kamera dilarang dibawa masuk ke dalam Masjidil Haram. Sekiranya polis wanita yang bertugas ketika itu mendapati kita membawa kamera, kamera kita akan dirampas. Ada juga gambar-gambar di dalam kamera yang ditemui itu dipadamkan. Saya pernah melihat polis itu sedang memadamkan gambar-gambar dalam kamera seorang wanita di pintu masuk masjid. Saya juga sudah beberapa kali ditegur oleh pekerja-pekerja di dalam Masjidil Haram supaya jangan mengambil gambar. Oleh kerana masalah ini saya menggambil gambar dengan menggunakan telefon bimbit dan kamera digital jenis compact. Jadi kualiti gambar dalam entri saya tentang Mekah adalah kurang memuaskan.


2. Pembangunan Kota Mekah yang Berbeza


Pada kunjungan yang pertama, saya dapati kota Mekah terlalu berdebu kerana banyak bangunan sedang diruntuhkan. Ia diruntuhkan kerana Kerajaan Arab Saudi ingin menjadikan kota Mekah bandar yang modern dan selesa kepada jemaah haji dan umrah. Namun pada kunjungan saya yang ketiga, saya dapati hotel-hotel, kedai-kedai dan rumah-rumah tradisional Arab yang dahulunya saya kunjungi kini sudah diruntuhkan. Antara yang saya ingin sentuh di sini ialah:

a) Masjid Kucing Hanya Tinggal Kenangan

Masjid Kucing amat terkenal di kalangan jemaah dari Malaysia. Dalam kalangan penduduk Mekah ia terkenal dengan Masjid Abu Hurairah. Abu Hurairah adalah gelaran yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat baginda Abdurrahman bin Shakhr Al-Azdi. Nabi Muhammad SAW menggelar sahabatnya itu Abu Hurairah yang bermaksud "Bapa Kucing" kerana Abu Hurairah RA amat menyukai kucing. Rasulullah menganggap kucing bukanlah najis dan menyukainya. Dari Abu Qatadah bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda tentang kucing:

"Sesungguhnya [kucing itu] tidaklah najis karena ia termasuk yang berkeliling di antara kamu." (Hadis riwayat  An-Nasa’i dan Abu Daud)

Kucing di dalam Masjidil Haram. Kucing ini saya ambil gambarnya (dengan telefon bimbit) ketika sedang berikhtikaf di Masjidil Haram pada waktu zohor.


Pada kunjungan 2010, saya sempat solat di Masjid Kucing. Jaraknya dari Masjidil Haram tidaklah jauh, kira-kira 10-15 minit berjalan kaki.  Saya sempat mengambil gambar berdekatan dengan masjid itu. Ketika itu saya tidak tahu yang Masjid ini akan diruntuhkan. Maklumlah amat sukar saya mendengar sebarang masjid diruntuhkan lebih-lebih lagi di Kota Mekah yang suci. Tetapi sayang seribu kali sayang, pada kunjungan terbaru saya pada bulan lepas, saya mendapati masjid itu sudah diruntuhkan. Kini masjid itu cuma tinggal kenang-kenangan.

Penulis sempat bergambar dan solat di Masjid Kucing pada Jun 2010. Pada kujungan penulis pada Jun 2013 masjid ini sudah tiada lagi. Ia sudah runtuh dan kini hanya tinggal kenangan




b) Restoren FELDA yang Sudah Tiada.

Saya suka makan di pusat membeli-belah yang terdapat di hadapan Masjidil Haram. Antaranya ialah D'Saji iaitu medan selera milik FELDA. D'Saji menyediakan masakan Malaysia seperti nasi lemak, kari ayam, nasi goreng dan mee goreng. Walau bagaimanapun ketika saya ke sana pada bulan lepas, saya tidak berjumpa dengan medan selera FELDA itu lagi. Saya mendapat tahu bahawa ia tidak lagi beroperasi.


Pada 2010 penulis sempat makan di medan selera makanan Malaysia milik Felda ini

Pada 2013 restoren milik Felda sudah tiada lagi dan diganti dengan medan selera yang lain


c) Tapak Rumah Kelahiran Nabi Muhammad SAW yang Sudah Dijaga Rapi

Tapak rumah kelahiran Nabi Muhammad SAW letaknya berdekatan dengan Masjidil Haram, tidak berjauhan dengan Marwa. Pertama kali saya mengunjunginya saya dapati tapak rumah itu dijadikan perpustakaan. Menurut beberapa sumber, ia dijadikan perpustakaan kerana ingin mengelakkan bidaah atau kepercayaan khurafat di kalangan pengunjung. Tambahan pula tidak ada dalil sahih yang mengatakan bahawa ini ialah tapak rumah kelahiran Nabi Muhammad SAW. Di dinding rumah ini diconteng dengan pelbagai tulisan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Orang juga terlalu ramai mengunjunginya sehingga menimbulkan kesesakan.

Dalam memberi wajah baru kepada Mekah, ramai yang menyangka rumah kelahiran Rasulullah SAW ini akan dirobohkan. Tetapi semasa saya ke sana pada bulan lepas, saya mendapati ia masih kukuh berdiri. Rumah kelahiran Nabi SAW ini tidak lagi diconteng dan ia dikawal dengan rapi. Peringatan dan larangan kepada pengunjung dicatatkan pada sebuah papantanda. Ini disebabkan oleh amalan khurafat dan kesalahan yang dilakukan oleh sesetengah pengunjung rumah kelahiran Nabi SAW ini.

Penulis bergambar di hadapan tapak rumah kelahiran Nabi Muhammad SAW pada Jun 2010. Perhatikan ramai pengunjung dan dinding rumah ini diconteng


Tapak rumah kelahiran Nabi Muhammad SAW semasa kunjungan penulis pada Jun 2013 yang sudah dijaga rapi dan tiada lagi contengan pada dinding.


d) Menara Hotel Jam Diraja Mekah (Abraj Al-Bait)

Menara Hotel Jam Diraja Mekah atau juga dikenali dengan Abraj Al-Bait adalah menara jam tertinggi di dunia. Ia mengalahkan Menara Jam Palace of Culture and Science di Warsaw Poland, Menara Jam The Big Ben London dan Menara Jam Ann-Bradly, Milwaukee Amerika Syarikat.

Semasa kunjungan saya pada 2010 Menara Jam ini masih dalam pembinaan. Ketika berjalan-jalan di kota Mekah saya ada mengambil gambar berlatarbelakangkan Menara Jam yang sedang dibina ini. Ketika itu saya tidak tahu bahawa ia akan menjadi Menara Jam tertinggi di dunia.

Ketika saya ke Mekah pada Jun 2013 baru-baru ini Menara Jam itu sudah siap dan kelihatan cantik, tinggi dan hebat. Semasa melakukan tawaf saya dapat melihat jam ini dengan jelas kerana ketinggiannya.

Menara ini dibina dengan kos 800 juta dollar Amerika dan diusahakan oleh Saudi BinLadin Group.  BinLadin Group adalah kontraktor binaan yang bertanggungjawab dalam kebanyakan kerja-kerja renovasi kota Mekah sekarang ini.

Melalui bacaan saya mendapati jurutera yang merekacipta binaan Menara Jam ini adalah orang Malaysia iaitu Wan Nazri Wan Aria yang bekerja dengan sebuah syarikat Jerman. Menara ini juga mendapat kerjasama syarikat dari Dubai yang juruteranya juga terdiri daripada 14 orang rakyat Malaysia.


Gambar Kiri: Menara Jam yang sedang dibina diambil dari jarak jauh, kelihatan penulis sedang berjalan. Gambar kanan: Menara Jam yang sedang dibina diambil dari tingkap apartment penulis, kelihatan di atas bukit adalah rumah tradisional Arab yang akan diruntuhkan

Pada 2010 jam besar ini sedang dalam pembinaan tetapi pada 2013 ia sudah siap dibina



3. Mataf (Kawasan Tawaf) Semakin Sempit.


Masjidil Haram akan berwajah baru. Pelan perancangan Masjidil Haram ini akan menjadikan Kaabah kelihatan dari semua arah. Bagi merealisasikan ini, pengubahsuaian ruang di dalam Masjdil Haram dan sekitar mataf (kawasan tawaf) dilakukan. Ia dijangka siap dalam masa tiga tahun lagi. Keluasan mataf kini menjadi sempit kerana beberapa kawasan dikepong untuk kerja-kerja pembinaan.

Sebelum ini, semasa musim haji, saya pernah tawaf di bahagian tingkat satu Masjidil Haram. Mataf di tingkat atas ini kelihatan seperti sebuah lorong yang mengelilingi Kaabah.  Pada kunjungan saya ke Mekah pada bulan lalu saya dapati lorong tawaf di tingkat satu ini sudah tidak digunakan untuk tawaf kerana sebahagian daripada lingkaran lorong ini ditutup untuk kerja-kerja renovasi. Disebabkan ini jemaah hanya dapat melakukan tawaf di bawah iaitu berdekatan dengan Kaabah. Maka keluasan untuk tawaf di bahagian bawah semakin sempit bagi menampung jumlah jemaah yang ramai.


Pada tahun 2010 lampu hijau sebagai penanda permulaan tawaf di letakkan pada dinding asal Masjidil Haram yang berhadapan dengan Hajarul Aswad. Pada tahun 2013, lampu hijau itu diletakkan pada dinding yang dilukis kerana bahagian ini sedang direnovasi

Pada 2010 sekitar Masjidil Haram belum lagi direnovasi. Pada 2013 sekitar Masjidil Haram sedang direnovasi dan kelihatan crane dan jentera pembinaan yang memenuhinya.


Mataf di bahagian bawah sesak dengan jemaah

Mataf di tingkat atas Masjidil Haram yang dahulunya boleh digunakan untuk tawaf  kini tidak boleh digunakan untuk tawaf kerana sebahagian daripadanya ditutup untuk kerja-kerja renovasi. Mataf di tingkat atas ini kini digunakan untuk solat, berdoa, membaca Quran dan melihat Kaabah.



4. Kawasan Saie yang Lebih Indah


Kawasan saie iaitu di antara Safa dan Marwa tidak banyak berbeza. Cuma lampu hijau kelihatan lebih cantik dan kemas berbanding dengan dahulu. Manakala di bukit Safa kita tidak lagi dapat melihat Kaabah dari situ kerana ia telah dihadang oleh dinding.

 
Kawasan saie menggunakan lampu hijau jenis kalimantang  pada Jun 2010

Kawasan saie diperindahan dengan rekabentuk lampu hijau, kipas dan hiasan siling yang lebih menarik


Di sinilah permulaan saie. Gambar di sebelah kanan: Jemaah sedang menghadap Kaabah sebelum memulakan saie. Kaabah  tidak kelihatan kerana dihadang oleh dinding.



Sama-samalah Kita Fikirkan


Pekerja membaiki bahagian dalam Masjidil Haram

Begitulah pesatnya pembangunan di Mekah. Dalam masa tiga tahun begitu banyak perubahan yang dilakukan oleh Kerajaaan Arab Saudi. Pembangunan Mekah ke wajah baru dan modern ini mendapat tentangan daripada sesetengah pihak namun ia tetap diteruskan. Antara kritikan terhadap kerjaan Arab Saudi ini adalah mereka tidak melestarikan sejarah Mekah. Ironinya bangunan sejarah Islam diruntuhkan tetapi premis komersial yang berasal dari Amerika Syarikat seperti KFC, Starbucks dan McDonalds didirikan.

Kerajaan Arab Saudi meruntuhkan bangunan bersejarah kerana ia mempunyai unsur-unsur bidaah.

KFC di hadapan Masjidil Haram



Namun kesan permodenan Mekah ini menjadikan perbelanjaan untuk ke Mekah meningkat naik. Hotel-hotel yang mampu disewa oleh kebanyakan jemaah kita letaknya agak jauh dari Masjidil Haram - sekurang-kurangnya 1 km. Harga tanah dan bangunan di kota Mekah adalah yang termahal di dunia.

Kuota untuk mendapatkan visa mengerjakan umrah dan haji juga dikurangkan sehinggalah renovasi kota Mekah siap. Peraturan ketat dikenakan kepada pemohon visa umrah baru-baru ini. Ramai orang Malaysia memprotes peraturan ini. Oleh kerana ini permohonan jemaah Malaysia banyak yang ditolak.

Walaupun bukannya mudah untuk dijemput menjadi tetamu di Tanah Suci ini, penulis yang penuh dosa ini amat bersyukur kerana pernah berada di sini. Kepada-Nyalah saya pasrahkan doa dan harapan semoga dijemput lagi.


Tetamu yang penuh dosa

23 ulasan:

  1. Selalu gak dengar org umrah dgn hanya back packer..I m sure caranya tetal sama kan..cuma kalau package tu kira macam lebih teratur..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Cara beribadat tetap sama. Cuma dengan backpack ini kita bebas bergerak dengan kumpulan kecil dan bebas memilih tempat penginapan dan makanan yang kita suka. Lagipun perlu ada local contact. Manakala pakej pula telah dijadualkan oleh ejen, kita goyang kaki saja dalam soal pengangkutan, penginapan dan makanan. Ikut saja dengan apa yang telah dijadualkan.

      Padam
  2. Kalau pergi umrah secara backpacker perlu ke visa umrah atau cuma guna visa pelancong...

    Dulu saya ke sana naik Saudi Air dan mendarat di Madinah, jadi agak mudah urusannya...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau umrah secara backpack perlu visa umrah dan apply sendiri di Kedutaan atau boleh guna visa bisnes dan perlu ada local contact. Kawan saya Liza ada banyak local contact di Mekah dan Madinah dan dia ada business visa. Jadi dia yang uruskan semua hal visa saya.

      Beruntung Mie dapat mendarat terus di Madinah dan urusan Mie dipermudahkan. Mendarat di Madinah lebih menjimatkan masa dan kurang penat kerana perjalanan darat dikurangkan.

      Padam
  3. saya juga menjadi tetamunya pada 22 mei - 4 jun 13.masih merindu pengalaman di sana. semoga dijemput lagi

    BalasPadam
    Balasan
    1. Nieda Ramly,
      Nampaknya tarikh kita di sana sama. Cuma saya ke Mekah dahulu baru ke Madinah. Semoga Nieda dijemput lagi sebagai tetamu Allah. Amin :)

      Padam
  4. Subhanallah...banyaknya perubahan dalam 3thn ni....saya pergi dulu awal 2012....tp bila tgk gambar kawan2 pergi baru2 ni....terkejut sbb byknyaaa besi2 kat langit tu...huhuhu rancaknyaaa renovation dijalankan...tak sabar nak dgr cerita backpack ke sana....mana tahu ada rezeki ke sana dgn back pack pula... =D

    BalasPadam
    Balasan
    1. DJ,
      Masa DJ ke Mekah 2012 itu Menara Jam tu sudah siapkah?

      Tahun ini banyak perubahan dari segi binaan bangunan. Besi-besi gergasi tu nampak semak di pandangan mata, kan?

      InsyaAllah akan saya usahakan untuk menulis entri tentang backpack ke Mekah itu.

      Padam
    2. Dah siap dah menara tu...masa masuk Mekah, jam tu la yg nampak dr jauh..berdebar betul bila nampak jam tu....tak sangka dah hampir masa tu....huhuhu rindu...semoga ada rezeki smpai lagi kat sana..insyaALlah....

      Padam
    3. Sayapun berdebar setiap kali ke Mekah. Saya doakan semoga DJ dapat ke sana lagi.

      Padam
    4. Amin...Amin ya Rabbal alamin...terima kasih.... =D

      Padam
  5. SubhanaALLAH... cantiknya Mekah ni. Semoga tercapai jugak cita2 saya nak jejak kaki kat sini. Patutla akak senyap je, rupanya jejaki ke tanah suci rupanya. ;) bestnya!

    terlalu membangun sangat kat kawasan sekitar ni tanah suci ni. nanti takut terpesong dari niat asal nak beribadat tapi jadik benda lain. nauzubillah..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang Mekah cantik dan tak jemu-jemu melihatnya dan berada di sana.

      Mekah ialah tempat yang Allah suka. Kalau ke sana mengerjakan haji dan umrah perlu dilakukan kerana Allah dan bukan sebab-sebab lain. Kalau Henry Fox ingin ke Mekah, berdoalah banyak-banyak semoga Allah menjemput Henry Fox ke sana.

      Akak doakan semoga Henry Fox menjadi tetamu Allah nanti. Amin.

      Padam
  6. Salam

    setiap kali kita berpeluang ke sana, setiap kali itu jugak merupakan satu pengalaman baru yang pasti kita akan tempuhi kerana pembangunan kota makkah sangat pesat , cuma yang tak berubah adalah Kaabah sahaja

    kalau semua dah siap , insyallah akan memberi keselesaan kepada tetamu Allah

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Rezeki,
      Betul tu Rezeki. Mekah ialah tempat yang lain daripada yang lain. Pengalaman setiap kali ke Mekah memang berbeza.

      Pembangunan Mekah amat pesat kerana Kerajaan Arab Saudi mahu memberi keselesaan kepada tetamu Allah. Contohnya sebelum ini kawasan saie adalah berdekatan dengan pasar. Tetapi apabila pasar itu diubah, maka kawasan saie menjadi amat selesa. Kini ia mempunyai bumbung, kipas, lampu, lantai mosaic, air zam-zam,lorong untuk kerusi roda, dll. Semua ini amat selesa.

      Padam
  7. Salam Prof..dulu nekcik slalu tertanya sendiri..kenapa orang baru balik Mekah..tapi pergi lagi..dan lagi..
    tapi setelah nekcik pergi tahun 2006 kerana haji..kami terus berdoa agar dapat bawak semua anak anak ke sana berumrah..alhamdulilah ..Allah makbulkan doa itu...tahun 2009...kami terus berdoa lagi di sana agar kami di jemput lagi...alhamdulilah Allah perkenankan jugak...alhamdulilah....dan semuga Allah terus menjadikan kami tetamuNya...kami rindu dan terus rindu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Nekcik,
      Begitulah indahnya berada di sana. Kaabah memanggil-manggil tetamu Allah yang pernah ke sana supaya datang lagi. Doa di sana juga amat mustajab dan doa Nekcik telah ditunaikan Allah. Berada di sana amat menyeronokkan, jiwa kita tenang dan pasti merinduinya apabila pulang. Bertuahnya Nekcik dapat ke sana bersama keluarga tersayang berulang kali. Semoga Allah menjemput Nekcik dan keluarga lagi sebagai tetamuNya.

      Padam
  8. Salam Prof,

    Bagus cara penceritaan prof mengenai Mekah. Setahu prof berapa kos plg rendah untuk ke menunaikan umrah?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Zila,
      Selamat Menyambut 10 Malam terakhir Ramadhan. Terima kasih Zila sebab menghayati cerita dalam entri ini.

      Saya pernah berjumpa orang Malaysia semasa saya mengerjakan umrah pada 2010 yang membelanjakan RM3,000 menggunakan pakej. Inilah perbelanjaan terendah yang saya pernah dengar. Tetapi tempoh berada di Mekah 2 hari & Madinah 1 hari. Manakala perjalanan kapal terbangnya terpaksa melalui negara yang jarang jemaah kita lalui seperti China atau Taiwan atau Pakistan dan transit beberapa kali.

      Saya membelanjakan lebih kurang RM5,000-6,000 semasa saya mengerjakan umrah pada 2010. Ini termasuk tiket kapalterbang, penginapan, pengangkutan, makan dan membeli-belah. Jangka masa berada di Mekah & Madinah ialah 9 hari. (Mekah 6 hari, Madinah 2 hari, Jeddah 1 hari)

      Semasa saya mengerjakan umrah pada 2013 saya membelanjakan lebih kurang RM8,000 seorang untuk 11 hari. (Mekah 6 hari, Madinah 4 hari, Jeddah 1 hari)

      Semasa mengerjakan haji pula saya membelanjakan lebih kurang RM22,000 untuk 49 hari. (Mekah 38 hari, Madinah 9 Hari, Jeddah 2 hari).

      Kesemua kiraan ini tidak termasuk masa yang dihabiskan dalam perjalanan kapalterbang (pergi balik) Malaysia-Jeddah dan perjalanan darat Jeddah-Mekah-Madinah-Jeddah. Untuk kiraan perjalanan ini kena tambah 2 hari lagi.

      Perbezaan harga berlaku bergantung kepada jarak/kedudukan hotel dengan Masjid. Lebih hampir dengan masjid lebih mahal dan begitulah sebaliknya. Begitu juga bergantung kepada bilangan penghuni bilik hotel yang dipilih. Lebih ramai kita berkongsi lebih murah. Begitu juga bergantung kepada pemilihan menu makanan dan tukang masaknya. Lebih banyak jenis lauk, sayur-sayuran, buah-buahan dan minuman maka lebih mahal. Tukang masaknya pula ada yang dari Indonesia, Malaysia, Arab, Pakistan dan macam-macam lagi.

      Padam
  9. Alhamdulillah, nak beribadah semakin selesa di Mekah, masa saya pergi dulu sangat la dusty dan banyak construction di sekeliling masjid. Skg pon sama juga sebab pembangunan sedang giat dijalankan dalam masjid juga. sampai kerajaan Arab Saudi nasihatkan untuk tangguhkan nak ke Mekah dalam tempoh 2 tahun ni. Tapi kalau dah berhajat nak ke sana, pergi jela kan hehee.

    Pasal rumah kelahiran Nabi tu, saya memang tak pernah nampak dulu... tak perasan pulak.. Ada rupanya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Janggel/Rain,
      Masa saya pergi 2010 tu pun memang terlalu berdebu sebab banyak bangunan sedang diruntuhkan. Ramai yang pakai topeng tutup hidung. Saya pulak tak pakai topeng sebab tu saya batuk dan selesema lepas tu. Tapi tahun ini kurang sikit debunya berbanding 2010.

      Walaupun Arab Saudi minta kita tangguh pergi dalam 2 tahun ni, tapi kalau hati membuak-buak hendak pergi, mana tahan kan.

      Rumah kelahiran Nabi SAW tu senang saja untuk dicari. Selepas Bukit Marwa tu, keluar saja dari masjid, jalan kaki dalam 5 minit dah boleh jumpa rumah tu.

      Padam
  10. Assalamualaikum Tn Hj,

    Alhamdullilah semasa pergi menunaikan Haji 2010 tempat penginapan saya tidak melalui kawasan yg sedang dibangungkan....iaitu di Ibupejabat Tabung Haji yg mana disepanjang perjalanan menuju ke Masjidil Haram para jemaah melalui deretan bangunan kedai.....kini semuanya telah diruntuhkan dan para jemaah terpaksa melalui kawasan lapang (spt padang bola) utk menuju ke Masjidil Haram

    Sememangnya amat berbeza didalam masa 3 tahun diantara 2010 dengan 2013 dimana kerja penmbangunan persekiraran dalam amupun luar Masjidil haram rancak dijalankan bagi kemudahan para jemaah haji pada tahun mendatang.......

    BalasPadam
    Balasan
    1. Pesona,
      Waalaikumusalam. Saya sebenarnya perempuan he he he, lain kali jangan panggil saya tuan ye :)
      Nampaknya kita di sana pada tahun yang sama dan saya dapat bayangkan kembali tempat yang Pesona ceritakan tu. Ya, sekarang semua itu sudah berubah. Bangunannya banyak diruntuhkan. Hotel yang saya duduk dulupun dah tak ada.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...