Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Selasa, 12 November 2013

Naik Haji (5): Ziarah Madinah Pada Musim Sejuk

S elepas tawaf wada saya dan rombongan haji saya ke Madinah menaiki bas. Bas kami sampai di Madinah 6 jam kemudiannya dan terus menginap di hotel Green Palace. Hotel ini amat hampir dengan Masjidil Nabawi, iaitu bersebelahan dengan pagar sahaja. Lokasi yang amat dekat ini memudahkan kami berulang alik ke masjid.

Hotel ini lebih luas dan selesa berbanding dengan hotel di Mekah tempoh hari.  Terdapat kemudahan wifi di dalam bilik dan ini memudahkan saya melayari Internet, tidak seperti hotel di Mekah dahulu yang saya terpaksa ke ruang lobi di tingkat 2 untuk mendapatkan wifi. Makanan yang disediakan  di hotel pula adalah makanan barat dan Arab yang disediakan oleh pihak hotel.

Cuaca di Madinah ketika itu sejuk dan nyaman. Ini disebabkan sudah masuk musim sejuk. Pakaian pula perlu ditambah selapis lagi untuk menahan kesejukan pada waktu malam dan subuh.  Kesihatan saya juga semakin pulih. Batuk dan selsema saya juga semakin berkurangan dan akhirnya hilang terus sebelum saya pulang ke tanahair.

Jarak Green Palace Hotel dari Masjidil Nabawi hanya beberapa tapak sahaja

 

Makam Rasulullah SAW



Menziarahi Rasulullah SAW dan berselawat kepada baginda


Perkara yang mula-mula sekali kami lakukan ialah melawat makam Rasulullah SAW. Kami memberi salam kepada baginda SAW dan sahabat baginda Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. dan Umar Al-Khattab r.a. Kami juga menyampaikan salam saudara-mara dan sahabat-handai buat baginda SAW. Ketika itu sentiasa ada pengawal yang mengawal kawasan itu dan melarang orang ramai daripada berdiri lama di hadapan makam baginda. Kami dibenarkan berada di situ selama 10 minit.


Masjid Nabawi dan Suasananya


Kemudian barulah kami menunaikan solat di Masjid Nabawi dan ke Raudah. Keadaan di Masjdil Nabawi pada musim haji ini adalah berbeza dengan keadaan pada musim umrah lalu. Ia amat sesak dengan manusia. Pelbagai manusia tidak putus-putus mengunjungi makam Rasulullah SAW, Masjidil Nabawi dan Raudah.

Menanti solat berjemaah di luar Masjid

Kaum lelaki menanti isteri di pintu pagar Masjidil Nabawi selepas solat jemaah

Kaum wanita keluar masjid dan mencari pasangan masing-masing



Memerhati aktiviti jemaah juga menarik hati, ini disebabkan terdapat macam-macam bangsa dan warna kulit berkumpul di sini. Hati ini merasa gembira melihat ramainya umat Islam dari pelbagai pelosok dunia berkumpul di sini. Walaupun warna kulit dan bahasa mereka berbeza, namun hati mereka tetapi sama iaitu sujud ke hadrat Illahi dan sanggup menggadai masa, tenaga dan wang untuk berada di bumi suci ini.

Kehadiran ramai orang ini membuatkan ramai dermawan mengambil kesempatan untuk memberi makanan seperti kurma, gula-gula, coklat dan biskut kepada sesiapa sahaja. Pada waktu malam selepas solat isyak, saya pasti lalu di hadapan kedai emas yang berada di hadapan Hotel Green Palace untuk pulang ke hotel. Saya sering melihat ramai orang beratur di hadapan kedai emas itu. Mereka beratur bukan untuk membeli emas. Tetapi mereka beratur untuk dapatkan roti Arab yang besar gedebak! Rupa-rupanya peniaga kedai emas itu memberi sedekah roti Arab yang bersaiz besar kepada orang ramai dan dalam masa yang singkat kesemua roti itu habis. Seronoknya saya melihat suasana ini. Ketika ini saya teringat babak-babak dalam filem P. Ramlee, ramai pedagang-pedagang Arab memberi sedekah pada fakir miskin.

Kadang-kadang saya melihat ramai orang beratur untuk mendapatkan nasi bungkus berdekatan dengan tanah perkuburan Baqi. Suasana ini amat menyeronokkan.

Saya dan kawan saya pernah membeli beratus-ratus tasbih yang dijual di hadapan masjid lalu memberikannya kepada jemaah yang sedang duduk menanti solat fardhu di luar masjid. Ramailah yang datang mengerumuni kami untuk mendapatkannya. Seronoknya kami melihat reaksi setiap orang apabila mendapat tasbih itu. Ada yang tersenyum gembira. Ada yang  terus berdoa untuk kami. Dalam sekelip mata sahaja tasbih itu habis. Ramai juga yang datang merayu meminta kepada kami tasbih itu, tapi apakan daya kami kerana tasbih itu sudah kehabisan.


Di luar Masjidil Nabawi pada waktu malam

Para penunggu isteri.....Sabar menanti dalam kedinginan malam

Masjidil Nabawi selepas solat subuh


Sebagaimana di Masjdil Haram di Masjidil Nabawi juga solat fardhu diiringi dengan solat jenazah kerana ada sahaja orang yang meninggal dunia.

Pada waktu solat subuh pada hari Jumaat di Masjid Nabawi, imamnya pasti membaca surah As-Sajadah selepas bacaan Al-Fatihah dan melakukan sujud tilawah.  Tetapi ada juga jemaah wanita yang tidak ikut imam melakukan sujud tilawah. Ini disebabkan mereka tidak nampak imam atau terlupa atau tidak tahu akan keperluan sujud tilawah ini. Apabila selesai solat, ramailah yang berbincang tentang perkara itu. Ustaz Mat menyuruh jemaah mengulangi solat subuh itu sekiranya tidak mengikut imam sujud tilawah.


Membeli-belah dan Ziarah Madinah


Di sekeliling Masjidil Nabawi terdapat banyak pusat membeli-belah dan kedai-kedai. Saya turut membeli-belah jubah yang amat murah di situ. Kami juga ke pasar kurma dan menziarahi Masjid Quba, Jabal Uhud dan masjid-masjid lain di kota Madinah.

Masjid Quba masjid yang pertama dibina oleh Rasulullah SAW selepas berhijrah dari  Mekah ke Madinah

Bukit Pemanah di kawasan Jabal Uhud

Makam para syuhada yang gugur di medan peperangan Uhud

Pasar Kurma yang terkenal di Madinah

Pelbagai buah-buahan kering, cokolat, kekacang dan manisan dijual di dalam kedai kurma


Wanita dan Haid


Berada di Mekah dan Madinah pada musim Haji selama 50 hari benar-benar membawa kegembiraan dan ketenangan di jiwa saya. Saya dapat beribadat sepuas-puasnya.

Saya seorang wanita dan kedatangan haid setiap bulan adalah lumrah yang telah dijadikan oleh Allah. Ustaz Mat telah berpesan supaya kaum wanita jangan mengambil pil menahan haid, kerana ramai yang mengambil pil mendapat mudharat dan haid tetap datang juga. Saya bukan jenis orang yang makan pil atau mengambil dadah. Jadi sudah pasti saya tidak mengambilnya. Sepanjang 50 hari saya di Mekah dan Madinah, saya tidak kedatangan haid. Allah telah menangguhkan haid saya. Sebenarnya sebelum saya berangkat ke Mekah, saya berdoa kepada Allah supaya menangguhkan haid saya sepanjang saya berada di sana bagi memudahkan saya beribadat. Alhamdulillah, Allah telah mengabulkan doa saya dan saya sangat bersyukur.


Bermalam di Jeddah Pula


Setelah sepuluh hari di Madinah, saya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada baginda Rasullullah SAW kerana perlu ke Jeddah, menginap di sana semalam, dan kemudiannya barulah berangkat pulang ke Pulau Pinang. Di Jeddah kami menginap di sebuah asrama yang disediakan oleh pihak Tabung Haji Malaysia. Di sinilah kami bersiap sedia untuk packing dan menimbang bagasi.

Sepanjang saya berada di Mekah, Arafah, Muzdalifah, Mina, Madinah dan Jeddah saya telah bertemu dengan ramai kawan yang serombongan dengan saya. Hubungan kami amat erat sehingga berkekalan sehingga ke hari ini. Apabila pulang ke tanahair, kami tetap berhubung antara satu sama lain dan sering kunjung mengunjungi.

Hubungan erat dibina sepanjang perjalanan dan ibadat Haji. Penulis bergambar dengan kawan-kawan di Jeddah sebelum berangkat pulang ke Pulau Pinang



Melangkah Pulang Ke Tanahair


Semasa melangkah masuk untuk pemeriksaan imigresen di lapangan terbang setiap seorang daripada kami dihadiahkan sebuah Al-Quran oleh kerajaan Arab Saudi.

Saya berharap semoga kunjungan saya ke Mekah dan Madinah bukanlah kunjungan terakhir. Semoga Allah menerima segala  ibadat saya selama di sana.


10 ulasan:

  1. Salam Prof..

    Alhamdulillah mudahnya urusan prof. Saya doakan moga2 prof boleh ke tanah suci lagi lepas ni :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali Zila.
      Amin ya Rabulalamin.

      Saya doakan juga Zila dapat ke Mekah dan Madinah.

      Padam
  2. Alhamdulillah..semoga prof mendapat hj yg mabrur. Sy dulu pun mengerjakan haji trlebih dahulu baru ziarah ke madinah.
    Sy nak ucapkan trima kasih sbb byk tips sy ambik dr blog prof pasal melbourne. Sy akan ke sana weekend ni..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Amin.

      Semoga Rozita selamat di Melbourne dan bergembira di sana. Rozita menginap di Malaysia Hall Melbourne, kan? Good for you :)

      Padam
  3. Agak selesa kalau dapat ke tanah suci dalam musim sejuk ni... Entah musim apa agaknya bila sampai giliran saya nanti.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang selesa dan nyaman di Madinah pada musim sejuk...

      Kalau Mie ke sana bulan depan, insyaAllah cuacanya sejuk. :)

      Padam
  4. Teringat masa di Mekah....
    1.Jumpa satu papan tanda kedai "KEDAI GUNDING RUMBUT"...ia jadi bahan ketawa setiap kali melalui kawasan ini.
    2.Beli 15 keping roti canai 15 rial....beli kuah 20 rial..mahal kuah pulak.
    Masa di Madinah...
    1.Turun dari kapal terbang suhu 4 darjah.
    2.Pernah satu subuh tunggu jenazah keluar ke Baqi'....jenazah itu digerakkan dihujung tangan jemaah yang beratur panjang lebih laju daripada kita yang mengejarnya secara berlari anak.
    Sekadar kongsi memori...
    17-20 Nov kami akan ke Aceh...nota kembara prof banyak membantu kami. Terima kasih.

    BalasPadam
    Balasan
    1. 1. Memang menyeronokkan membaca papantanda bahasa Melayu di luar tanah Melayu. Ada yang ejaannya salah. Ada yang ejaannya lama. Tapi tentu kita bangga sebab bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa penting dan mendapat tempat di Tanah Suci.

      2. Barangkali rempah-ratus untuk membuat kuahnya susah diperolehi dan mungkin ianya diimport, sebab tu kuahnya lebih mahal.

      3. Wah sejuknya Madinah masa tu! Mungkin badan mendapat kejutan!

      4. Orang yang meninggal di Madinah adalah orang yang mulia di sisi Allah, dan ahli syurga, sebab itu ramai yang berebut untuk menguruskan jenazahnya dan dikebumikan segera. Orang yang bangkit dahulu selepas kiamat ialah Rasulullah SAW, diikuti oleh mereka yang dikebumikan di Baqi.

      5. Semoga bergembira di Acheh :)

      Terima kasih diatas perkongsian ini, Nasa Saba.

      Padam
  5. Alhamdulillah. seronok mengikuti kembara Hajjah dari siri 1 hingga ke 5. Banyak panduan dan pengalaman yang menarik dapat dikongsi bersama dan banyak tip yang berguna buat bakal bakal Haji. Sepuloh jari di tadahkan mendoakan agar Prof dapat pergi lagi di tanah suci. Insyakallah.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah. Terima kasih mk8 kerana sudi membaca setiap siri. Jazakallahu khair. Aamiin ya Rabbulalamin..Semoga mk8 juga dijemput Allah selalu ke sana.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...