Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Rabu, 29 April 2015

Fenomena Seni Jalanan di Kelantan

Seni jalanan (street art) telah mendapat tempat di Pulau Pinang dan Ipoh. Kelantan juga tidak kurang. Nurul Atiqah Binti Ahmed iaitu pembaca blog ini telah bermurah hati menghantar cerita untuk dikongsi bersama-sama pembaca. Jom kita ketahui kisah seni jalanan ini sebagaimana yang ditulis oleh Nurul Atiqah.
* * * * * * * * *

“Fenomena Seni Jalanan di Kelantan”

Oleh Nurul Atiqah Binti Ahmed (yuyuatiqa.blogspot.com)

K elantan terkenal dengan keunikan makanannya, tempat-tempat bersejarah, lokasi membeli-belah, pantai-pantai yang cantik dan sebagainya. Salah satu lokasi terbaru yang menjadi tarikan pengunjung ke negeri Kelantan ialah Laman Seni, Lorong Cek Mek Molek yang terletak di daerah Machang. 

Laman seni ini tidak sukar untuk dijumpai. Pengunjung hanya perlu mencari satu-satunya Kedai Buku Banggol yang ada di Bandar Machang, kemudian secara tidak langsung pengunjung akan menemui laman seni ini di bahagian belakang kedai buku tersebut.

Laman Seni ini pada asalnya hanyalah sebuah lorong lama yang suram sepi dan tidak dilalui orang awam. Namun begitu, satu projek bertemakan kelestarian alam iaitu Pertandingan Toyota Eco Youth Peringkat Kebangsaan 2014 telah diadakan. Projek ini melibatkan penyertaan daripada 16 buah sekolah seluruh Malaysia untuk melukis mural, grafiti dan arca di sepanjang lorong yang telah dipilih.

Projek ini merupakan usaha sama antara sebuah syarikat besar iaitu UMW Toyota Motors dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia. Projek yang melibatkan lorong terbiar seperti Lorong Cek Mek Molek ini adalah satu inisiatif bagi memupuk kesedaran orang awam khususnya golongan belia tentang kepekaan mereka terhadap alam sekaligus dapat menggalakkan golongan ini untuk berterusan memulihara alam sekitar.

Penulis di hadapan mural tarian Melayu

Berdasarkan pengamatan penulis sepanjang melewati lorong ini, pelbagai jenis mural dan arca yang dilukis atau dilekatkan pada dinding. Hasil seni tersebut membawa mesej-mesej tertentu di sebaliknya. Ada lukisan, apabila memandangnya, kita akan dapat terus membuat tafsiran tetapi ada juga yang memerlukan penelitian terlebih dahulu bagi mencerap maksud yang tersirat.

Mural dan arca yang dipaparkan secara tidak langsung menarik perhatian orang awam untuk lebih menghargai sentuhan hasil seni anak-anak tempatan. Keadaan ini menaikkan lagi semangat dan kesungguhan mereka dalam usaha meningkatkan kemahiran dalam bidang seni.

Marilah bermain wayang kulit Kelantan bersama penulis di Laman Seni

Terdapat beberapa mural yang dilukis pada dinding yang berunsurkan kebudayaan. Contohnya, mural wayang kulit yang tidak asing lagi dikenali sebagai tarikan kebudayaan negeri Kelantan. Mural tersebut dilukis dengan sangat menarik dan menimbulkan keinginan dalam diri penulis untuk lebih mengambil tahu mengenai kebudayaan yang ada di negeri Kelantan.


Penulis di hadapan mural Tugu Negara

Selain itu, penulis berpeluang merakamkan gambar kenangan di hadapan mural tugu negara. Mural berunsurkan patriotisme ini memang layak untuk dipaparkan di Lorong Cek Mek Molek. Hal ini kerana, ia dapat memupuk kesedaran patriotik dalam diri segenap lapisan masyarakat supaya sentiasa bersemangat waja untuk terus setia dan sedia berkorban bagi mempertahankan tanah air yang tercinta. 
Penulis di hadapan mural akuarium piranha

Hasil seni seterusnya yang berjaya menarik perhatian penulis ialah mural akuarium ikan piranha. Mural tersebut dilukis dengan sangat cantik. Lukisannya seakan-akan timbul. Mural akuarium ikan tidak menggunakan gabungan warna yang pelbagai. Ia banyak menggunakan warna hitam sebagai latar belakang dan warna putih untuk lukisan ikan.

Di hadapan lukisan 3D

Selain itu, terdapat juga lukisan 3D yang berwarna-warni dan menimbulkan mood keceriaan di sepanjang Lorong Cek Mek Molek. Penulis begitu teruja untuk bergambar di hadapan salah sebuah lukisan 3D seolah-olah menampakkan seperti penulis sedang masuk melalui pintu yang terbuka. Ia secara tidak langsung membuatkan pengunjung merasakan seperti turut berada dalam lukisan tersebut.

Kembali ke zaman batu

Secara peribadi, penulis sangat tertarik dengan salah satu mural yang terdapat di Laman Seni tersebut iaitu mural yang melambangkan keluarga orang zaman batu. Pada awalnya, sekali pandang, mural tersebut mengingatkan penulis kepada keluarga penjaga harta karun dalam cerita "Ahmad Albab" lakonan allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Warna yang digunakan begitu menarik ditambah pula dengan kerusi sebagai prop yang disediakan untuk pengunjung merakamkan gambar kenangan bersama mural tersebut.

Penulis berasa begitu puas hati dan berbangga dengan inisiatif yang diwujudkan bagi memelihara dan menjaga kebersihan lorong sebegini yang dulunya dipanggil lorong tikus. Lorong yang pada awalnya sunyi kini telah menjadi lorong yang selamat untuk dilalui.

Harapan penulis agar keceriaan dan kebersihan Laman Seni, Lorong Cek Mek Molek ini dapat dikekalkan penjagaannya. Semoga ia kekal sebagai salah sebuah lokasi yang dapat menjadi tumpuan pengunjung.

12 ulasan:

  1. Kalau di semua bandar di Malaysia ada seni jalanan macam ni pun bagus juga...cuma kena ada tema yang berlainan...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul tu Mie, dengan tema berlainan tentu setiap tempat mempunyai keunikan tersendiri.

      Padam
  2. Seni jalanan hanya dibuat oleh orang-orang yang kreatif. Hebat mereka punya bakat seni yang tinggi. Seni jalanan di Kelantan bagus banget Bu Prof.


    http://sederhanaperjalanan.blogspot.com/

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau di Indonesia di mana ada seni jalanan begini ya Mas Gun?

      Padam
    2. banyak kok bu kalau di Indonesia, termasuk dibandung banyak karya-karya anak remaja yang sengaja meluapkan bakat mereka dengan corat-coret didnding yang menghasilkan lukisan seni yang sangat indah, hanya kegiatan seni seperti ini tidak pernah mendapat tanggapan langsung dari pemerintah setempat.

      Padam
    3. Ya, saya pasti ada banyak seni jalanan di Indonesia, lebih-lebih lagi di Bandung yang terkenal sebagai "Kota Kreatif" dan fesyen.

      Padam
  3. Balasan
    1. ...dan sumber inspirasi bagi mereka yang ingin berkarya dan mencintai alam sekitar.

      Padam
  4. Mural ni lebih baik dari tengok conteng sana-sini kat dinding bangunan lama lama ni.Kalau kreatif dinding bangunan lama nampak lebih cantik dan berseni dari bangunan baru yang macam kotak aje pada saya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, betul tu Rahimah. Tekstur bangunan lama yang terkesan oleh cuaca dan fenomena alam pula menambah nilai seninya.

      Padam
  5. bagus.. dah makin banyak tempat yg macam ni.. bleh tarik pelancong datang..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, betul Siti. Boleh meningkatkan ekonomi juga.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.