Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Khamis, 4 Februari 2016

Jom Tengok Ola Bola

H ujung minggu ini ramai yang bercuti sempena Tahun Baru China. Ada yang mengambil cuti sehingga minggu depan. Ke manakah anda hendak pergi berjalan? Apa kata kita tengok Ola Bola? 

Ola Bola adalah sebuah filem Malaysia yang baru yang patut kita tengok. Ola Bola diarahkan oleh Chiu Keng Guan yang sebelum ini telah mengutip jualan tiket melebihi RM17.28 juta melalui filem The Journey

Berapakah pula yang berjaya dikumpulkan oleh Ola Bola pula? Menurut laporan sebuah akhbar di Malaysia, selepas 4 hari tayangan, filem Ola Bola telah berjaya mengumpulkan RM2.5 juta! Wow!

Baru-baru ini pengarah Chiu dan pelakonnya iaitu Luqman Hafidz dan Marianne Tan telah datang ke USM Penang iaitu tempat saya berkerja dan memperkenalkan filem ini. Daripada pembentangan pengarah dan pelakon-pelakon filem ini, saya rasa amat tertarik dengan kegigihan pengarah Chiu menghasilkan sebuah filem Malaysia bergenre sukan. 

Chiu, Luqman Hafidz dan Marianne datang ke Pusat Pengajian saya dan bergambar dengan pelajar-pelajar saya

Antara yang menambat hati saya ialah cara penggunaan green screen dan kesan khas dalam merealisasikan adegan-adegan menarik filem ini terutamanya babak ketika menaiki helikopter, menggelecek bola dan penonton bersorak. Latihan demi latihan dilakukan supaya pelakon-pelakonnya mahir bermain bolasepak dan menjadi pengulas sukan profesional. 

Filem ini cuba mengimbas kembali zaman kegemilangan bolasepak tanahair pada tahun 1980an. Penyelidikan yang mendalam dilakukan untuk mendapatkan fakta dan maklumat yang tepat. Wawancara-wawancara dilakukan dengan pemain-pemain bolasepak zaman itu dan pengulas sukan profesional seperti Hasbullah Awang supaya kelihatan lebih nyata.  Amat nostalgia sekali melihat seting, kostium, props, gaya dan penampilan mereka yang pernah berada di zaman itu dikembalikan di atas skrin.

Pengarah Chiu telah bermurah hati memilih saya menjadi salah seorang SUPERFAN Ola Bola dengan menghadiahkan saya sehelai baju-t yang amat unik. Siap dengan nombor jersi seperti seorang pemain bolasepak profesional! :)

T-shirt ini dihadiahkan oleh Chiu pengarah filem Ola Bola kepada saya
Di belakang t-shirt Ola Bola ini dituliskan saya sebagai Superfan dengan nombornya

Saya juga dapat sekeping pelekat (stickerOla Bola. Saya menerimanya dengan hati yang gembira. Saya menjangkakan filem ini akan dicatatkan sebagai salah sebuah filem terbaik dalam sejarah filem Malaysia.

Pelekat Ola Bola yang saya terima dari pengarah filem Ola Bola

Sekarang filem Ola Bola sedang di tayangkan di pawagam-pawagam. Pelajar-pelajar saya telah menonton filem ini. Ada yang telah menontonnya berkali-kali. Pada pandangan mereka ia amat menarik.

Mendengarkan cerita dari pelajar-pelajar saya, saya dan keluarga saya pun ke pawagam berdekatan dengan rumah kami iaitu di Queensbay Mall.

Penonton beratur membeli tiket di Golden Screen Cinema, Queensbay Mall, Penang

Kami tidak beratur membeli tiket, tetapi membelinya di rumah secara online. Bar code tiket itu dihantar melalui telefon pintar dan apabila sampai di pawagam, kami hanya imbas bar code tersebut di pintu masuk. Satu tiket berharga RM14.00.

Beratur membeli popcorn dan minuman di pawagam di Queensbay Mall, Penang
Dengan membeli secawan air Milo kami mendapat beg Ola Bola percuma

Apabila kami memasuki pawagam, kami mendapati penontonnya terdiri daripada pelbagai bangsa: Melayu, Cina dan India. Inilah filem yang berjaya mengajak penonton pelbagai bangsa menonton filem Malaysia.

Ceritanya menarik kerana ia memaparkan realiti kehidupan masyarakat Malaysia berbilang bangsa. Plotnya ringkas dan banyak diselit-selitkan dengan adegan-adegan lucu. Watak-watak pemain bolasepak mengingatkan saya kepada pemain bolasepak negara pada tahun 1980an seperti Soh Chin Aun, Mokhtar Dahari, Arumugam dan Santokh Singh. Betapa hebatnya Malaysia di peringkat antarabangsa melalui gabungan pelbagai kaum dalam sebuah pasukan bolasepak.

Lakonan Bront Palarae yang mantap sebagai pengulas sukan mengingatkan saya pada Rahim Razali iaitu komentator sukan yang terkenal pada tahun 1980an.

Lagu Arena Cahaya dendangan Zee Avi amat merdu didengari dan liriknya amat padan dengan tema filem ini.

Ketika menonton saya sempat mengambil beberapa syot dari filem Ola Bola dengan menggunakan telefon bimbit saya.

Berita kemenangan pasukan bolasepak negara di dalam filem Ola Bola
Marianne melakukan wawancara untuk rancangan tv terbitannya
Ali (lakonan Luqman Hafidz) bertarung dalam perlawan bolasepak Malaysia dalam Ola Bola
Bront Palarae berjaya mencuit hati penonton dengan lakonannya sebagai pengulas sukan untuk acara secara langsung
Kita dapat menyaksikan pemandangan indah dan sinematografi menarik dalam Ola Bola

Kepada yang belum menonton Ola Bola lagi, apa kata pergilah hujung minggu ni?

12 ulasan:

  1. Saya bercadang untuk menonton bersama anak teruna saya hujung minggu ini. Filem yang bagus,mesej yang jelas...kita harus sokong.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Filem ini sangat sesuai ditonton bersama anak teruna.

      Padam
  2. dahh tengok dah 5 star ..terbaik cerita nie

    Jom vote blog acik di MSMW 2016 : Cara mengundi di sini

    BalasPadam
    Balasan
    1. 5 star? Wah banyaknya :)
      Semoga acik berjaya dlm MSMW 2016.

      Padam
  3. lama tak jumpa...masing-masing sibuk ...selamat tahun baru 2016.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya pun sibuk. Selamat tahun baru En Khairuddin.

      Padam
  4. Prof:

    Teruja membaca komen Prof mengenai Ola Bola ... iya lah ... sebab agak sukar mencari sebuah filem melayu yang agak memberi impak apabila menontonnya ...

    Saya dahulu amat meminati filem filem Allaharyam Jasmin Ahmad ... di mana filem filem beliau cuba utk mempertengahkan aspirasi Melaysia Majmuk bersatu ...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Setelah Yasmin Ahmad, sekarang ini sudah ramai pengarah filem yg gemar menghasilkan filem Malaysia yg mana ia tidak terhad kepada bahasa Melayu dan penonton Melayu sahaja. Ramai penonton yg ingin menonton filem Malaysia (national film) yg menggunakan bahasa Cina, Tamil, Melayu, Inggeris, dialek & slanga serta ceritanya merangkumi aspirasi pelbagai kaum di Malaysia.

      Padam
  5. saya belum berkesempatan untuk menonton cerita ini...tengok kat tv, ramai yang kata filem ni memang kena tonton...in syaa allah

    BalasPadam
    Balasan
    1. Elok tengok sebelum habis tayangan di pawagam.

      Padam
  6. Menarik pula mendengar ringkasan cerita serta sesuatu yang boleh bawa masyarakat tak kira bangsa untuk bersantai bersama-sama. Saya masa chinese new year pula asyik tengok cerita Jet Li . Saya suka cerita cerita shoalin temple dengan cerita era Fong Sai Yuk.Boleh duduk berjam-jam tengok cerita macam ni hi hi.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Cerita Shaolin pun saya suka :) Antaranya Shaolin Soccer, Shaolin Drunkard, Shaolin Drunk Monkey...seronok tengok koreografi kungfunya.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...