Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Selasa, 6 Jun 2017

Umrah 2017| Pengalaman Naik Saudi Airlines


A  nda sudah pernah naik Saudi Airlines? Kalau belum pernah, saya ingin kongsi pengalaman saya menaiki Saudi Airlines (Saudia). 

Inilah pertama kali saya menaiki penerbangan Saudi Air (Saudia) dan pertama kali jugalah saya turun di lapangan terbang Madinah ketika ke Arab Saudi untuk mengerjakan umrah/haji. Sebelum ini saya turun di Jeddah setiap kali ke Arab Saudi.

Saudi Arabian Airlines di KLIA

Penerbangan berlepas dari KLIA pada 15 Mei 2017,  jam 3.00 petang. Kebanyakan penumpang adalah jemaah umrah dari Malaysia dan Indonesia.

Di dalam kapal terbang, penumpang diberi menonton rancangan-rancangan TV menarik dari Arab Saudi dan Amerika sehinggalah filem-filem popular Barat seperti Harry Potter. Semua ini dapat ditonton melalui skrin sesentuh yang disediakan di hadapan penonton yang diletakkan pada belakang kepala kerusi. Antara yang boleh ditonton ialah bacaan Al-Quran, ceramah agama, rancangan pengembaraan, dokumentari National Geographic, drama, komedi, lanskap taman, berita dan muzik.

Untuk menyemak waktu dan peta perjalanan juga boleh dilihat melalui skrin itu. Pengumumannya dalam tiga bahasa: Arab, Melayu dan Inggeris.

Susunan kerusinya 3 sebaris dengan ruang melunjur yang luas. Seperti biasa keperluan asas untuk pendaratan kecemasan disediakan. Selain itu majalah, katalog, beg muntah, bantal, selimut, tisu basah dan headphone disediakan. Tetapi semasa perjalanan pulang ke Malaysia satu pek yang berisi penutup mata, stokin, berus gigi dan ubat gigi disediakan.

Yang menariknya, sebelum penerbangan berlepas, juruterbang memberi salam dan membaca doa perjalanan. Doa perjalanan dalam bahasa Arab itu dipaparkan juga pada skrin di hadapan penonton bagi mereka yang tidak menghafalnya.

Perlepasan dan pendaratan dilakukan dengan baik tanpa membuatkan telinga kita berdengung. Ini saya puji! Syabas Mr Pilot! Cuaca juga amat baik sepanjang perjalanan.

Pramugari Saudia sedang melayani penumpang dengan memberi minum

Pramugarinya dari pelbagai bangsa: Arab, Filipina dan China. Semuanyanya berpakaian sopan dengan memakai tudung biru berkupiah namun fesyennya membuatkan rambut masih kelihatan sedikit. Ada pramugarinya yang peramah dan ada juga yang tidak. Saya berpendapat, mereka perlu belajar berbahasa dan bersopan-santun dengan penumpang terutama pada golongan tua kerana mereka hanya menggunakan perkataan 'you' sahaja tanpa panggilan 'Sir/Madam'. Saya ternampak salah seorang pramugari memarahi seorang pakcik yang bangun ketika pendaratan, siap dengan menjegilkan mata dan menunding jari telunjuk kepada pakcik itu. 

Saya dapat pramugari Arab yang kurang peramah, sedikit kasar dan susah untuk senyum.  Dia marahkan saya ketika saya mengambil gambar di dalam kapal terbang.

Hidangan makanan barat yang enak pilihan saya dalam penerbangan ke Madinah

Hidangan makan malam berupa nasi, ayam, sayur, salad, roti dan kek ini pilihan saya dalam penerbangan pulang ke tanah air

Makanan disajikan dua kali seperti pasta, nasi, ikan salmon, ayam, roti, buah-buahan, salad, kek dan minuman. Nasi dengan ikan salmon serta pastanya sedap. Namun ketika perjalanan pulang ke Malaysia, makanannya tidak sesedap semasa pergi. Keknya pula terlalu manis dan boleh membuatkan paras gula dalam badan meningkat! Yang bagusnya, tiada minuman akohol disajikan di dalam kapal terbang ini.

Bilik solat dalam Saudia dengan arah kiblat pada skrin sesentuh

Yang menariknya, Saudia menyediakan bilik solat di kabin. Namun yang saya kesali di tandasnya tidak ada kemudahan beristinjak.

Iklan perkhidmatan telefon dalam bahasa Melayu di lapangan terbang Madinah

Penerbangan dari KLIA ke Madinah ini memakan masa lebih 8 jam.  Pelepasan pada pukul 3 petang itu mengalami kelewatan ketika singgah di Riyadh selama 2 jam dan kami sampai di Madinah pada pukul 9 malam waktu Madinah. 

Suasana di lapangan terbang Madinah tenang dan tidak sibuk. Kami disambut dengan ucapan "Assalamualaikum" yang begitu ceria dan mesra oleh pekerja Arab di situ. Beratur di kaunter imigresen untuk pemeriksaan pasport dan visa juga tidaklah lama. Lebih kurang 15 minit urusan kami pun sudah selesai di imigresen lalu turun ke tingkat bawahnya untuk menuntut bagasi. 

Tempat mengambil bagasi di lapangan terbang Madinah ini kelihatan dekat dan jelas dari kaunter imigresen

Begitulah pengalaman saya menaiki Saudi Airlines yang secara keseluruhannya memberi perkhidmatan yang baik, cuma pramugarinya perlu menambahbaik tingkahlaku dan bahasa mereka.

Untuk membaca kisah Umrah dan Haji saya yang lalu sila baca pautan ini:

8 ulasan:

  1. Saya pun naik flight Saudi masa mengerjakan umrah suatu ketika dulu. Penerbangan terus ke Madinah tanpa transit dan penumpang seratus peratus orang Malaysia. Kira macam penerbangan sewa khas. Masa tu Boeing 747 yang ada jendul di atasnya digunakan tapi kemudahannya tidaklah secanggih seperti yang ada sekarang.

    Pakaian pramugarinya pun macam lain dan tak ada semacam bonggol unta seperti dalam foto ... hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Nampaknya penerbangan Saudia dari Malaysia terus ke Madinah tanpa transit sudah lama diadakan. Cuma saya saja yang baru merasa.

      Mungkin pakaian pramugari dahulu lebih baik dan Islamik, tak macam sekarang.

      Padam
  2. Haji dan umrah nekcik dapat naik saudi air..mmg selesa...sekali tu naik royal jordan sbb nak xiarah turki sebelum buat umrah..alhamdulilah

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah Nekcik dapat pengalaman yang baik dengan Saudi Air. Turun di Madinah juga ke?
      Royal Jordan pula macam mana? Review yang saya baca, bercampur-campur.

      Padam
  3. Salam..
    Terbaik...
    Catatan perjalanan tu yang penting untuk ingatan dan pengetahuan orang ramai. Tkasih

    BalasPadam
  4. Bestnya saudiairlines ada tpt solat. Kan bagus kalau MAs pun buat tpt solat mcm ni

    BalasPadam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...